Isnin

Benarkah Jutawan?

Saya tertarik dengan berita terbitan Mingguan Malaysia bertarikh 21 November 2009. Berita tersebut berjudul “JOHOR LAHIRKAN 20 JUTAWAN IKS”. Rangkap pertama berita tersebut adalah berbunyi seperti berikut;

LEDANG 21 Nov. - Industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian di Johor menyaksikan perkembangan positif apabila berjaya melahirkan seramai 20 usahawan yang mencatatkan pulangan perniagaan lebih RM1 juta.

Kita seharusnya berbangga dengan kemampuan kerajaan melahirkan usahawan tersebut. Namun ada perkara yang menjadi tandatanya daripada laporan tersebut.

Laporan itu menyatakan 20 orang jutawan tersebut lahir kerana pulangan perniagaannya lebih dari RM1 juta. Persoalan disini, adakah pulangan perniagaan merupakan satu ukuran yang tepat untuk mengklafikasikan seseorang itu sebagai jutawan. Bukankah pulangan perniagaan hanya satu angka kasar iaitu jualan didarab dengan harga produk. Maka pulangan perniagaan yang bernilai RM1 juta tidak semestinya menghasilkan keuntungan RM1 juta. Kalau pulangan RM1 juta menggambarkan keuntungan RM1 juta, berapakah kos pengeluarannya? Kosong? Mustahil?

Seorang jutawan sebenarnya diukur kepada nilai asset yang ada di dalam pegangannya. Jika ia untung sebanyak itu pun, belum tentu ia menjadi asset mutlaknya kerana sebahagiannya mungkin akan menjadi modal untuk perkembangan perniagaan.

Implikasi dari laporan tersebut ialah, betapa lemahnya ilmu kewangan dan ekonomi dikalangan masyarakat kita, sedangkan ia wajib dikuasai jika kita ingin menguasai ekonomi dan maju dalam bidang perniagaan.

Tandatanya timbul adakah laporan tersebut hasil dari kenyataan kerajaan negeri atau andaian serta kurang fahamnya wartawan yang menulis?

Kesan yang lebih buruk ialah dibimbangi akan ada pihak membuat tuduhan bahawa kerajaan Johor cuba membohongi rakyat hasil daripada laporan yang mengelirukan itu.

Kesan buruk yang lain ialah, kita akan perasan dan bangga tidak bertempat kononnya mempunyai masyarakat jutawan sedangkan ia belum ke tahap tersebut. Akhirnya kita ditertawakan oleh orang lain.

Hendakkah kita macam itu?


Sabri Jalil