Isnin

Alkisah Di Sebuah Restoran Mamak

Alkisah pada suatu malam saya dan rakan-rakan seperjuangan dalam Belia 4B bertemu dan berkumpul di sebuah restoran di Taman Johor Jaya. Aktiviti ini sekali-sekala kami lakukan untuk bersembang pasal persatuan, pasal politik, pasal saham, tak kurang juga mengumpat dan mengata. Ya lah kalau dah sentuh pasal politik, tidak boleh elak dari nak mengumpat dan mengata.Biasalah tu…..

Saya tidak tahu apa istimewanya restoran mamak ini? Bukan kami sahaja yang suka lepak dan ngeteh di kedai mamak ni, tapi orang lain juga saya perhatikan begitu. Tidak kira Melayu, Indiadan Cina saban siang dan malam suka benar menikmati makanan dan minuman di restoran mamak.

Nak kata istimewa pada kopinya, saya rasa tidak. Rata-rata kopi yang saya rasa di kebanyakan restoran mamak biasa je rasanya. Kopi yang isteri saya buat jauh lebih sedap dan setanding dengan kopi di kopitiam. Malah kadang-kadang kopi "O" (minuman kegemaran saya) yang dipesan bagaikan Nescafe “O”…..kalau ada ikan berenang di dalam kita boleh nampak.

Lain-lain menu, saya rasa tidak jauh bezanya dengan restoran yang lain khasnya restoran Melayu, tetapi restoran mamak tetap jadi pujaan.

Apa yang saya dan pembaca perasan ialah rata-rata pekerja di restoran mamak ini diimport dari India. Bahasa Melayu mereka ada yang ok…tapi tak kurang juga yang nyawa-nyawa ikan.

Menyambung kepada alkisah diperenggan pertama tadi, bila kami  masing-masing mengambil tempat di meja yang sama, maka seperti biasa pekerja restoran mamak ini datang untuk mengambil pesanan. Maka kami masing-masing meng”order” minuman ikut selera masing-masing. Semua membuat pesanan minuman panas.

Maka beberapa minit kemudian, minuman yang dipesan pun tiba. Saya dan beberapa rakan saya kurang berpuashati. Yang kami order adalah minuman panas, tapi yang dihantar suam sahaja bagaikan kopi atau teh tarik.

Salah seorang diantara kami memanggil mamak yang mengambil pesanan tadi. Maka kawan saya itupun mengeluarkan kata-kata kepada simamak tadi yang berbunyi begini;

“Lain kali kalau kita orang order air panas, pakai air panas bukan air suam”.

Untuk membuatkan simamak itu lebih faham, seorang lagi rakan saya pula mengangkat cawan sambil berkata “air panas, mesti air panas, faham ka?”

Entah faham entah tidak simamak itupun mengangguk-ngangguk dan terus beredar dari situ. Beberapa minit kemudian simamak itu kembali kemeja kami dengan membawa beberapa gelas air panas.

Kami memandang antara satu sama lain. Nak marah ada, nak ketawa pun ada.

Alahai mamak. Mengapalah kau begitu?


- Sabri Jalil

Khamis

Mamak oh mamak

Baru-baru ini ada saranan supaya panggilan mamak keatas masyarakat India Muslim dihapuskan. Alasannya, istilah mamak ialah satu penghinaan kepada masyarakat tersebut. Saranan tersebut datangnya dari NGO yang dianggotai oleh golongan mamak sendiri.

Namun begitu yang menariknya cadangan tersebut turut mendapat bantahan ramai dari kalangan mamak itu sendiri, terutamanya dari kalangan pengusaha restoran mamak.

Tidak tahu pula kita selama ini yang panggilan mamak itu sebagai satu penghinaan. Apa pun yang penting ialah niat kita, Kalau kita memanggil mereka dengan nama mamak, maka itu bukan penghinaan kerana masyarakat sudah menganggap ia panggilan yang lumrah. Jadi masyarakat mamak tidak perlu tersinggung.

Kita pun tidak pernah nampak dari riak wajah mereka yang dipanggil mamak itu terasa terhina dengan panggilan sedemikian. Kalau tidak percaya pergilah ke restoran mamak dan panggillah mereka, tidak seorang pun yang marah.

Istilah mamak sebenarnya banyak membawa faedah kepada masyarakat mamak itu sendiri. Ini kerana perkataan mamak kini mempunyai nilai kormesil. Buktinya kalau kita sebut sahaja restoran mamak apakah yang kita bayangkan? Panggilan mamak bagaikan sudah menjadi jenama umum kepada perniagaan restoran mereka. Maka itu apa rasionalnya ia perlu dihapuskan.

Teringat saya kepada sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan Bakar Batu, Johor Bahru. Semasa dalam pengubahsuaian sebuah bangunan untuk pembukaan restoran baru, terbentang satu kain rentang berbunyi;

“Satu lagi restoran mamak akan dibuka”

Terbukti bahawa istilah mamak adalah satu jenama umum, maka itu mengapa perlu dihapuskan.

 

- Sabri Jalil  

 

Ahad

Bahasa Inggeris, pengalaman saya

Saya adalah seorang insan Melayu yang boleh bertutur bahasa Inggeris @ BI. Kini bekerja dalam industri kewangan dan pelaburan. BI saya mungkin tidak setaraf dengan Mat Salleh (tetapi mungkin lebih baik dari Haji Salleh) atau setidak-tidaknya dengan Dr. Mahathir. Tetapi saya yakin, dari segi mutu pertuturan dan tulisan, BI saya boleh diterima dan difahami oleh para audien saya. Jika tidak mana mungkin saya telah diterima sebagai seorang kakitangan bertaraf eksekutif di sebuah syarikat multinasional (1990-1992) dan juga telah diterima sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah universiti swasta, Wawasan Open University, pada 2008 yang mana BI adalah bahasa pengantarnya.

Dalam urusan kerja seharian pula, saya menggunakan BI terutamanya bila berurusan dengan pelanggan yang gemar berurusan dalam BI. Malah dalam seminar dan kursus yang berkaitan dengan kerjaya saya, BI adalah bahasa perantaraan.

Untuk makluman pembaca, saya adalah keturunan Jawa (sebahagian rumpun Melayu) dan membesar di sebuah perkampungan terpencil di negeri Perak dimana seratus peratus penduduknya adalah orang-orang Jawa. Atas faktor itulah mungkin nama kampung saya diberi nama sebagai Kampung Jawa.

Bahasa Jawa menjadi bahasa pertuturan harian terutamanya dalam hal kemasyarakatan dan kekeluargaan. Tiada bahasa lain yang digunakan melainkan Jawa. Bahasa Melayu tidak digunakan langsung dan saya tidak tahu walau sepatah pun pada masa itu.

Persekitaran hidup di zaman kanak-kanak itu telah mengundang masalah besar apabila saya melangkah ke darjah satu. Untuk makluman pembaca, saya dimasukkan ke sekolah Inggeris oleh bapa saya dan menjadi orang yang pertama di kampung tersebut memasuki sekolah Inggeris yang terletak di bandar Tapah dimana jaraknya adalah sepuluh batu dari kampung saya.

Oleh kerana saya tidak mendapat pendidikan pra sekolah atau tadika, maka saya tidak boleh bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu @ BM apatah lagi BI. Bayangkan, apa yang boleh saya faham ketika cikgu mengajar. Tidak kiralah samada ia mengajar dalam BM atau BI. Sedikitpun saya tidak faham, kerana saya menggunakan “bahasa ayam” manakala bahasa cikgu saya  menggunakan “bahasa kambing”. 

Dipendekkan cerita sehinggalah tamat tingkatan 6 Atas, mutu BI saya masih menyedihkan. Memang saya boleh membaca dalam BI, tetapi hanya boleh membaca, makna istilah dan ayat yang dibaca saya tidak faham. Maka itu sudah tentu saya tidak faham tentang apa yang saya baca, apatah lagi hendak bertutur. BI adalah matapelajaran yang paling membosankan saya di sepanjang alam persekolahan selama 12 tahun kecuali di tingakatan 5 sebab gurunya yang seksi.

Dari darjah satu hingga tingkatan 5 (tingkatan 6 tiada matapelajaran BI), cikgu mengajar BI dalam bahasa Inggeris, tanpa penerangan dalam bahasa lain. Pemahaman saya tentang istilah-istilah dalam BI amat terhad. Kalau dah tak faham tentang istilah sudah tentu sukar untuk memahami ayat. Kalau tidak dapat memahami ayat, maka tidak dapat memahami maksud keseluruhannya.

Itulah yang saya dan para pelajar Melayu lain telah alami disepanjang persekolahan. BI menjadi matapelajaran yang sukar. Namun sekolah tidak pernah menukar pendekatan walaupun didapati masih ramai pelajar lemah BI pada masa itu. Pencapaian setiap bulan sungguh menyedihkan.

Guru matematik saya menyedarkan saya bahawa BI sangat penting, terutamanya untuk pengajian di peringkat tinggi. Maka saya berfikir saya mesti menguasai BI supaya boleh membaca dan memahami sebarang perkara dalam BI.

Pesanan guru saya memang benar, apabila saya melangkah ke tahun satu di Fakulti Ekonomi & Pentadbiran di Universiti Malaya, saya dapati 95% buku rujukan adalah dalam BI dan sebahagian kuliah dianjurkan dalam BI bergantung kepada siapa pensyarahnya. Saya menghadapi kesukaran untuk menguasai bidang kursus yang saya ambil kerana tidak menguasai BI. Di UM memang ada kursus BI tetapi pendekatannya sama dengan pendekatan di sekolah, maka ia tidak memberi sebarang kemajuan kepada saya.

Di UM, BI diwajibkan kepada pejalar tahun pertama dan wajib lulus. Andaikata gagal pelajar tidak dibenarkan meneruskan pengjian ke tahun seterusnya biarpun cemerlang dalam kertas-kertas ekonomi. Dasar ini mencemaskan saya.

Maka itu saya harus mengambil langkah drastik agar saya dapat menguasai BI dan seterusnya menguasai kertas-kertas displin ekonomi serta membolehkan saya keluar dari UM dengan segulung ijazah ekonomi yang saya impikan. Tindakan pertama yang saya lakukan ialah mengenalpasti punca yang menjadi kesukaran untuk memahami dan menguasai BI dan saya yakin punca itu jugalah yang menjadi masalah kepada para pelajar lain.

Saya tidak pernah mengambil kelas tambahan untuk mempertingkatkan penguasaan BI tetapi saya berbalik kepada masalah asas. Alhamdullilah dengan cara tersendiri ia dapat mengatasi kelemahan dan menguasai BI dalam tempoh yang singkat.

Pendekatan yang sama saya amalkan kepada anak-anak saya tanpa perlu ke kelas tambahan. Kelas tambahan bukan sahaja meningkatkan kos tetapi tidak berkesan kerana tidak mengambil kira masalah asas.Anak saya belajar matematik dan sains dalam BI di sekolah tetapi BInya masih lemah. Namun dengan pendekatan yang saya amalkan ia menunjukkan peningkatan. Saya jangkakan anak sulung saya mendapat 4A dalam UPSR, tetapi oleh kerana ia menunjukkan peningkatan BI maka dia mendapat 5A.

Terbukti pendekatan yang saya gunakan amat berkesan bukan hanya pada diri saya tetapi juga anak-anak. Rupa-rupanya pendekatan yang sama digunapakaikan oleh sekolah Petronas (sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar) tetapi amat menghairankan mengapa kementerian tidak mahu mencontohi Petronas.

Pendekatan PPMSI bukan sahaja pelik tetapi memerlukan kos berjuta ringgit sedangkan ada pendekatan yang lebih praktikal, berkesan dan yang lebih penting kosnya yang murah dan tidak membebankan kewangan kerajaan itu sendiri.

Satu perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah, bila kita sebut tentang mutu bahasa, penguasaan “grammar” adalah intipatinya. Adakah istilah dalam matematik dan sains yang terhad itu boleh memperbaiki “grammar" para pelajar? Adakah pengajaran matematik dan sains memberi jaminan bahawa pelajar boleh bertutur dan menulis dengan baik?...iaitu dengan "grammar" yang betul.

Mari kita renung peristiwa ini;

Ahmad seorang pelajar yang ingin menguasai bahasa Mandarin dan dia langsung tidak faham walau sepatah istilah Mandarin. Pertama kali dia hadir kelas Mandarin gurunya bertutur dalam bahasa Mandarin tanpa menterjemah dalam bahasa Melayu. Bolehkah Ahmad akan faham matapelajaran tersebut?

Kes ini boleh dijadikan panduan untuk mengatasi masalah BI.

Bahasa Melayu yang sudah maju kehadapan sebelum ini, sebagai bahasa pengantar dalam sains dan matematik bukan sahaja di sekolah malah di universiti, tetapi kini telah dimundurkan hanya kerana dasar politik.

Akibatnya bangsa lain memandang rendah keupayaan BM dan memberi ruang kepada mereka untuk menuntut supaya digantikan dengan bahasa mereka. Maka itu jangan salahkan mereka. Jangan melenting dan berdemonstrasi dengan penuh emosi bila mereka membuat tuntutan sedemikian. Kita harus salahkan diri sendiri.

Wahai para pembuat dasar, masalah pendidikan hanya boleh diselesaikan dengan pendekatan pendidikan. Masalah bahasa hanya boleh diselesaikan dengan pendekatan bahasa. Pendekatan politik tidak akan menyelesaikan secara hakiki melainkan hanya sebagai pendokong.

Orang lain maju seiring dengan warisan budaya bangsa mereka, kita maju dengan mengorbankan budaya warisan sendiri. Bangsa lain mahukan bahasa mereka sebagai bahasa ilmu, malah mencadangkan supaya dijadikan bahasa perantaraaan dalam pentadbiran kerajaan, tetapi kita adalah sebaliknya.

Rupa-rupanya orang melayu tidak yakin dengan tamaddun sendiri.

Tepuk dahi fikirlah sendiri.

- Sabri Jalil

Rabu

Benarkah Bahasa Inggeris Meningkatkan Pencapaian Matematik Dan Sains.

Berkaiatan dengan tajuk di atas, berikut saya muatkan sebuah rencana yang disiarkan oleh Berita Harian bertarikh 4 Mac 2009

Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik
Dr Isahak Haron

Kajian TIMSS 2007 mendedahkan kemerosotan prestasi pelajar Malaysia dalam dua subjek teras lebih ketara WALAUPUN Kementerian Pelajaran menerima pelbagai maklum balas mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerajaan masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembalikan mengguna bahasa Malaysia. Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh. Apakah hasil kajian antarabangsa mengenai prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains? Pada 2007, kajian penting antarabangsa mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in Internationhal Mathematics and Science Study (TIMSS 2007).

Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003. Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit.

Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah signifikan, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu. Berdasarkan laporan itu, hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003. Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain. Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori Matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).

Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus).

Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian Sains juga merosot secara mendadak. Ulasan laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian Matematik dan Sains ialah di kebanyakan negara, pelajar yang menyatakan mereka belajar Matematik dan Sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing. Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan.

Peranan penting bahasa keluarga dalam pembelajaran akademik, misalnya Matematik dan Sains, banyak dikaji. Hasil kajian ini menunjukkan kemahiran kognitif (berfikir) akademik berkembang terutama melalui bahasa pertama. Apabila pelajar cuba belajar bahasa kedua dan terus belajar misalnya Matematik dan Sains melalui bahasa kedua, pelajar akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang lemah, iaitu pelajar sukar mempelajarinya. Pendidikan dalam bahasa keluarga amat kritikal untuk kanak-kanak mencapai tahap kematangan mental iaitu kemahiran memahami dan membina konsep secara membina misalnya proses pembelajaran dalam subjek Matematik dan Sains

Penjelasan ini relevan dalam konteks hasil kajian dan ulasan TIMSS yang menunjukkan pencapaian Matematik dan Sains pelajar mengguna bahasa keluarga untuk pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini secara purata lebih tinggi berbanding mereka yang belajar subjek berkenaan dalam bahasa kedua. Ini kerana bahasa keluarga di sekolah memudahkan pelajar memahami konsep subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

Bagaimana kes Singapura? Penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains di Singapura adalah hampir sama dengan bahasa keluarga kebanyakan pelajar, sejak lebih 30 tahun lalu dan bahasa Inggeris meluas diguna dalam komunikasi harian di Singapura. Berdasarkan dapatan kajian ini, Unesco mencadangkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bagi memudah dan mengukuh kefahaman konsep kepada pelajar. Malah, semua negara dalam Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda, manakala bahasa kedua wajib yang boleh dipilih ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman. Di Malaysia, pada 2003, pelajar tingkatan dua yang menjadi sampel kajian TIMSS 2003 belum terbabit dalam dasar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka belajar dalam bahasa Malaysia dan prestasi mereka dalam kajian TIMSS bagi kedua-dua kohort 1999 dan 2003 itu adalah baik dan membanggakan. Ia kerana pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu memudahkan kebanyakan pelajar mempelajari dan memahami Matematik dan Sains.

Kajian sekumpulan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006 menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar Tingkatan Dua menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan huraian di atas, kita boleh buat kesimpulan bahawa faktor utama yang boleh dihubungkait dengan kemerosotan mendadak prestasi Matematik dan Sains pelajar Malaysia dalam kajian TIMSS 2007 ialah pertukaran penggunaan bahasa penghantar Matematik dan Sains di sekolah dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua atau asing bagi kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris menyukarkan kebanyakan pelajar belajar dan memahami Matematik dan Sains. Sukar kita mencari sebab lain yang munasabah kenapa kemerosotan mendadak ini berlaku dalam TIMSS 2007 berbanding dengan 2003 dan 1999. Bagi Matematik jatuh dari 508 mata pada 2003 ke 474 pada 2007; dan bagi Sains pula jatuh dari 510 pada 2003 ke 471 pada 2007. Kemerosotan mendadak ini adalah yang terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian.

Prestasi pelajar kita dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia juga merosot. Perlu diingat bahawa Matematik dan Sains di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) diajar dalam bahasa Cina, bukan dalam bahasa Inggeris. Bagi sekolah kebangsaan (SK) pula, semua murid belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris iaitu bukan bahasa keluarga mereka. Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara bandingan menunjukkan peratus murid SRJKC mencapai gred cemerlang meningkat, sementara prestasi murid SK pula merosot.

Kebanyakan murid SK sukar memahami Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan 70 peratus daripada mereka memilih membaca dan menjawab soalan Sains UPSR dalam bahasa Melayu. Lebih 90 peratus murid SRJK Cina memilih menjawab Matematik dan Sains UPSR dalam bahasa Cina, tidak dalam bahasa Inggeris. Kesan negatif ketara berikutan pelaksanaan PPSMI adalah pendidikan Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan, sekolah yang lebih 90 peratus murid Melayu/Bumiputera menerima pendidikan Matematik dan Sains. Sepanjang enam tahun lalu mereka belajar dua mata pelajaran penting ini dalam bahasa Inggeris (bukan bahasa keluarga). Pembelajaran dan prestasi mereka lemah.

Dasar PPSMI ini tidak menjejaskan pembelajaran dan prestasi murid SRJKC kerana mereka terus belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan ditambah dengan istilah Inggeris. Kajian UPSI (2008) mendapati lebih 70 peratus pelajar Melayu/Bumiputera di SK terutama golongan sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berdepan kepayahan belajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini akan berterusan. Oleh kerana asas Matematik dan Sains pada peringkat rendah ini lemah, kelemahan ini secara kumulatif dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ini ialah 20 hingga 30 peratus pelajar daripada keluarga profesional, menengah dan bandar, yang sebahagian besarnya mengguna bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa keluarga. Adalah satu 'anggapan palsu' (fallacy) bahawa kecekapan dalam bahasa Inggeris itu menjadi prasyarat penting untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Yang sebenarnya adalah sebaliknya. Pengetahuan yang kukuh dalam Matematik dan Sains pada peringkat rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang sains dan teknologi, bukan bahasa Inggeris. Ertinya jika pelajar lemah dalam pengetahuan Matematik dan Sains, mereka sukar melanjutkan pelajaran peringkat tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa Inggeris.

Pengetahuan yang kukuh dalam Sains dan Matematik (sebelum terlaksana PPSMI) membolehkan pelajar kita menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Korea, Jerman, Russia, selain dalam bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia. Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan Matematik dan Sains mereka kukuh. Perkembangan latihan modal insan dalam sains, teknologi dan profesional akan terjejas teruk terutama di kalangan bangsa Melayu/Bumiputera. Dasar PPSMI mengecilkan peratus dan bilangan pelajar Melayu yang cekap dalam Matematik dan Sains untuk pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Strategi pembangunan modal insan melalui dasar PPSMI adalah strategi yang salah untuk membina keupayaan modal insan sains dan teknologi anak bangsa. Ia terus membantut keupayaan ekonomi mereka dan perkembangan ekonomi seterusnya. Ini akan melebar jurang antara kaum dan kelas sosioekonomi dan boleh menjejaskan kestabilan negara.

Strategi yang munasabah dan realistik untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan bermakna bagi pelajar kita ialah kembali semula kepada dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu kerana hasil Kajian TIMSS 1999 dan 2003 membuktikan prestasi pelajar kita dalam Matematik dan Sains dalam kohort yang diajar dalam bahasa Melayu itu tinggi. Sebaliknya kohort yang diajar dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 2007 itu prestasi ujian Matematik dan Sains TIMSS 2007 mereka merosot dengan ketara, kerana kebanyakan mereka sukar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Pelaksanaan dasar kembali mengguna bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik tidaklah sesukar seperti yang cuba digemburkan. Baiki kurikulum dan pendekatan bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah kita. Ini tidak sukar dilaksanakan.

Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron ialah Profesor pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim merangkap Ketua Pengkaji Kesan PPSMI Terhadap Prestasi Mata Pelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Rendah dan Menengah 2008

Selasa

Isu Bahasa Inggeris Tiada Kesudahan Jika....

Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik (PPSMI) nampaknya masih berterusan. Sejak ia dilaksanakan polemik masih berpanjangan dikalangan dua kumpulan yang mempunyai pandangan yang berbeza. Satu menyokong, satu lagi menentang.

Yang terkini sekumpulan sasterawan telah menyerahkan memorandum kepada menteri pendidikan dan dilaporkan juga akan mengadakan demonstrasi aman sebagai bantahan kepada PPSMI. Ada juga kumpulan yang menghentam kumpulan sasterawan ini kerana menentang dasar yang mahu memajukan anak bangsa sendiri, kononnya.

Persoalan disini kepada kumpulan-kumpulan yang berpolemik ini ialah, adakah mereka tahu objektif perlaksanaan PPSMI ini? Siapakah yang bertanggung jawab mencadangkan dan melaksanakan PPSMI dan bertanyalah semula adakah perlaksanaan PPSMI ini untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris atau meningkatkan mutu pelajaran sains dan matematik.?

Saya berpendapat isu dan polemik akan selesai bila kita menoleh kebelakang sebentar dan mengingati balik apakah objektif PPSMI. Kalau dah objektifnya kita sendiri kabur bagaimana kita nak menyelesaikan masalah ini?

Persoalan yang berlegar dalam kepala sekarang yang berkaitan dengan polemik PPSMI ini, mengapa kita tidak balik kepada masalah asas? Mengapa masalah bahasa tidak diselesaikan dengan pendekatan bahasa. Mengapa masalah pendidikan tidak diselesaikan dengan pendekatan pendidikan. Adakah isu yang timbul sekarang ini menggunakan pendekatan pendidikan atau politik untuk menyelesaikannya.?....persoalan ini perlu dirungkaikan agar selepas ini kita tidak terlalu memfokuskan kepada isu yang sepatutnya tidak timbul sejak berpuluh tahun lalu….agar kita lebih fokus kepada agenda yang lebih besar…….ekonomi.

Apakah masalah asas yang saya maksudkan? Sila baca artikel "Bahasa Inggeris, pengalaman saya"

- Sabri Jalil