Khamis

Mamak oh mamak

Baru-baru ini ada saranan supaya panggilan mamak keatas masyarakat India Muslim dihapuskan. Alasannya, istilah mamak ialah satu penghinaan kepada masyarakat tersebut. Saranan tersebut datangnya dari NGO yang dianggotai oleh golongan mamak sendiri.

Namun begitu yang menariknya cadangan tersebut turut mendapat bantahan ramai dari kalangan mamak itu sendiri, terutamanya dari kalangan pengusaha restoran mamak.

Tidak tahu pula kita selama ini yang panggilan mamak itu sebagai satu penghinaan. Apa pun yang penting ialah niat kita, Kalau kita memanggil mereka dengan nama mamak, maka itu bukan penghinaan kerana masyarakat sudah menganggap ia panggilan yang lumrah. Jadi masyarakat mamak tidak perlu tersinggung.

Kita pun tidak pernah nampak dari riak wajah mereka yang dipanggil mamak itu terasa terhina dengan panggilan sedemikian. Kalau tidak percaya pergilah ke restoran mamak dan panggillah mereka, tidak seorang pun yang marah.

Istilah mamak sebenarnya banyak membawa faedah kepada masyarakat mamak itu sendiri. Ini kerana perkataan mamak kini mempunyai nilai kormesil. Buktinya kalau kita sebut sahaja restoran mamak apakah yang kita bayangkan? Panggilan mamak bagaikan sudah menjadi jenama umum kepada perniagaan restoran mereka. Maka itu apa rasionalnya ia perlu dihapuskan.

Teringat saya kepada sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan Bakar Batu, Johor Bahru. Semasa dalam pengubahsuaian sebuah bangunan untuk pembukaan restoran baru, terbentang satu kain rentang berbunyi;

“Satu lagi restoran mamak akan dibuka”

Terbukti bahawa istilah mamak adalah satu jenama umum, maka itu mengapa perlu dihapuskan.

 

- Sabri Jalil