Jumaat

Kisah Harga Gula & Peniaga Muda Yang Melawan Arus


Umum semua tahu, kerajaan telah menaikkah harga gula sebanyak 20 sen sekilo iaitu dari RM1.45 kepada RM1.65 awal tahun ini. Dikalangan pengguna nampaknya kenaikan itu tidak banyak mendapat reaksi keterlaluan sebagaimana kenaikan harga minyak beberapa tahun lalu.

Namun dikalangan peniaga, reaksi mereka begitu pantas. Hanya sehari harga baru dikuatkuasakan, diberitakan harga roti canai di Melaka sudah naik 10 sen sekeping. Harga teh tarik juga sudah naik 10 sen di beberapa tempat. Bayangkan hanya dengan 2 keping roti canai atau dua cawan teh tarik peniaga sudah dapat menampung kenaikan harga sekilo gula. Kuantiti roti canai atau teh tarik yang seterusnya adalah keuntungan tambahan semata-mata.

Setiap kali berlaku kenaikan harga barangan penting, termasuk harga petrol, nampaknya ia satu rahmat besar kepada peniaga. Inilah masa mengaut keuntungan yang lebih. Cara mereka menaikkan harga seolah-olah pengguna tidak tahu membuat kira-kira. Teringat juga saya kepada penjual air di sebuah pasar borong di Johor Bahru semasa kenaikan harga minyak dahulu. Harga air naik dari RM1.00 kepada RM1.20 secawan. Persoalannya berapa banyak minyak petrol mereka campurkan dalam air minuman sehingga harga air naik 20 peratus?

Beberapa minggu selepas kenaikan harga gula, saya sempat mengunjungi sebuah pasar malam di utara Johor. Di pasar malam tersebut ramai juga peniaga yang menjual air minuman. Rata-rata harga sudah dinaikkan kepada harga baru. Namun saya bertembung dengan sebuah gerai yang masih mengekalkan harga lama di pasar malam yang sama dan pada malam yang sama. Maka saya singgah untuk membeli air di situ. Oleh kerana waktu sudah di penghujung masa perniagaan saya dapati air yang dijual hanya tinggal sedikit sahaja.

Saya sempat bertanya kepada peniaga muda tersebut “Orang lain sudah naikkan harga tetapi kenapa awak masih menjual pada harga lama?”

Pemuda itu menjawap, “Alah bang harga air kalau tak naik pun tak apa, untung masih banyak lagi. Biarlah dia orang nak naikkan harga bang. Inilah masanya saya menarik pelanggan baru. Malam ini jualan saya yang paling banyak bang sebab saya pakai harga lama. Tak pernah saya tambah dua kali bang. Harap-harap orang lain kekalkan harga baru, biarlah saya dengan harga lama. Lagi ramai pelanggan tertumpu di gerai saya lebih berganda untung saya macam malam ni”

Jawapan peniaga muda itu sungguh menarik. Ia menampakkan kebijaksanaan dan bertindak melawan arus untuk memaksimakan keuntungannya. Baginya menaikkan harga tidak semestinya menambahkan keuntungan. Tetapi bertindak lain daripada orang lain lebih berkesan untuk menggandakan keuntungan. Orang lain menaikkan harga 20 peratus belum tentu keuntungan naik 20 peratus. Tetapi peniaga muda ini tidak menaikkan harga satu peratus pun tetapi telah meningkatkan keuntungan 100 peratus.

Sungguh bijaksana peniaga muda ini. Baginya keuntungan bukan hanya terletak pada harga tetapi juga kuantiti yang jualan. Mengapa peniaga-peniaga lain tidak berfikir panjang sepertinya?


- Sabri Jalil