Isnin

Organisasi Aktif, Apakah Ukurannya?

Mungkin ramai diantara kita jika diminta untuk menilai sebuah organisasi samada aktif atau sebaliknya ,kita akan menghitung berapa banyak program adhoc yang dianjurkan dari awal hingga kehujung tahun sebagai kayu pengukur mutlak tanpa mengambil kira ukuran-ukuran lain yang lebih penting.

Program adhoc ialah program yang dirancang dan diadakan hanya bersifat sementara.

Organisasi yang tidak menonjol, kerana kurang atau tiada menganjurkan program adhoc, dari pandangan masyarakat umum dianggap sebagai tidak aktif walaupun pada hakikatnya ia jauh lebih berjaya jika dinilai dari sudut yang lebih penting. Masyarakat kita sebenarnya mempunyai ukuran yang salah dan definisi yang sempit dalam menilai dan mengukur keaktifan sesebuah organisasi.

Banyak daripada organisasi Melayu terlalu berbangga dengan program adhoc. Bagi mereka lagi banyak program adhoc lagi baik, dan organisasi dianggap lebih aktif walaupun ia lari dari objektifnya. Asalkan program telah dilaksanakan ia dianggap satu kejayaan. Ini merupakan satu penilaian yang dangkal dan sempit dari setengah pemimpin organisasi.

Organisasi yang aktif ialah organisasi yang berfungsi. Berfungsi bermakna ia bergerak secara berkesan dan memberi faedah kepada ahli-ahlinya. Ia juga mesti bergerak selari dengan falsafahnya, mempunyai hala tuju dan sentiasa mencapai objektif yang ditetapkan. Inilah satu definisi yang tepat untuk sebuah organisasi yang aktif. Sesuatu program samada bersifat adhoc atau kekal hanya sebagai satu kaedah untuk meningkatkan fungsi organisasi tetapi ia tidak semestinya ia berlaku jika program itu sendiri tidak selari dengan objektif organisasi

Mengambil contoh organisasi-organisasi bukan Melayu, jarang sangat kita melihat mereka menganjurkan program-program adhoc yang glamour, tetapi hakikatnya mereka adalah organisasi yang paling berjaya berbanding organisasi Melayu walaupun mereka hakikatnya tidak dipimpin oleh ahli politik.

Mereka menekankan kepada program kekal dan mempastikan organisainya berfungsi iaitu membantu dan menjana faedah kepada ahli-ahli mereka. Mereka mementingkan program yang kekal dan berterusan selaras dengan fungsi organisasi mereka.

Sebagai contoh, sebuah organisasi di utara Johor dimana ia dianggotai oleh orang-orang India , tidak pernah meganjurkan program adhoc. Ia hanya menganjurkan satu program atau aktiviti kekal yang dipanggil sebagai “Coffee Club” . Program ini membolehkan ahli-ahli mereka berkumpul setiap minggu untuk berbincang dan bertukar fikiran dalam berbagai perkara. Aktiviti “Coffee Club” ini diprogram atau dirancang hanya sekali oleh mereka tetapi berjalan secara berterusan setiap minggu.

Itulah faedah yang dinikmati oleh ahli-ahli organisasi itu. Mereka berkumpul setiap minggu, bertukar-tukar fikiran sambil menikmati secawan kopi. Program itu juga digunakan sebagai tempat untuk menambahkan rangkaian dan mencari pelanggan bagi mereka yang mempunyai perniagaan. Kesimpulannya program “Coffee Club” membantu kelab tersebut berfungsi sebagai “gathering center” dan berperanan sebagai “social and business network” untuk ahli-ahli mereka. Persoalannya adakah organisasi seperti ini tidak aktif?

Terdapat juga organisasi-oarganisasi lain terutamanya organisasi Cina, tidak pernah mempunyai program adhoc tetapi tetap memainkan peranan membantu ahli-ahli mereka dari masa ke semasa seperti pemberian biasiswa, modal perniagaan, latihan dan sebagainya. Bukankah apa yang dilakukan oleh mereka itu sebagai aktiviti atau program? Yang membezakan ialah ia bersifat kekal yang memberi gambaran organisasi mereka tetap berfungsi mencapai objektif dan menjalankan tanggungjawapnya.

Kesimpulanya, organisasi yang aktif perlu dinilai dari segi fungsi, peranan dan keberkesananya. Bukan dari berapa banyak program adhocnya. Bukan satu kesalahan menganjurkan banyak program adhoc tetapi biarlah mencapai matlamat dan selari dengan halatuju organisasi. Jangan pula dijadikan sebagai kayu pengukur menentukan samada organisasi itu aktif atau sebaliknya. Organisasi bukan Melayu bagaikan senyap kerana tiada program adhoc yang menonjol dan glamour tetapi hakikatnya merekalah yang lebih aktif dan berjaya. Kita harus terima hakikat ini dan perlu menilai semula bagaimana organisasi kita harus diuruskan.

Insyaallah dalam artikel akan datang saya akan mengutarakan isu yang sama tetapi akan mengambil Gerakan Belia 4B Cawangan Taman Johor Jaya 5 sebagi “case study”.

- Sabri Jalil