Isnin

Alkisah Di Sebuah Restoran Mamak

Alkisah pada suatu malam saya dan rakan-rakan seperjuangan dalam Belia 4B bertemu dan berkumpul di sebuah restoran di Taman Johor Jaya. Aktiviti ini sekali-sekala kami lakukan untuk bersembang pasal persatuan, pasal politik, pasal saham, tak kurang juga mengumpat dan mengata. Ya lah kalau dah sentuh pasal politik, tidak boleh elak dari nak mengumpat dan mengata.Biasalah tu…..

Saya tidak tahu apa istimewanya restoran mamak ini? Bukan kami sahaja yang suka lepak dan ngeteh di kedai mamak ni, tapi orang lain juga saya perhatikan begitu. Tidak kira Melayu, Indiadan Cina saban siang dan malam suka benar menikmati makanan dan minuman di restoran mamak.

Nak kata istimewa pada kopinya, saya rasa tidak. Rata-rata kopi yang saya rasa di kebanyakan restoran mamak biasa je rasanya. Kopi yang isteri saya buat jauh lebih sedap dan setanding dengan kopi di kopitiam. Malah kadang-kadang kopi "O" (minuman kegemaran saya) yang dipesan bagaikan Nescafe “O”…..kalau ada ikan berenang di dalam kita boleh nampak.

Lain-lain menu, saya rasa tidak jauh bezanya dengan restoran yang lain khasnya restoran Melayu, tetapi restoran mamak tetap jadi pujaan.

Apa yang saya dan pembaca perasan ialah rata-rata pekerja di restoran mamak ini diimport dari India. Bahasa Melayu mereka ada yang ok…tapi tak kurang juga yang nyawa-nyawa ikan.

Menyambung kepada alkisah diperenggan pertama tadi, bila kami  masing-masing mengambil tempat di meja yang sama, maka seperti biasa pekerja restoran mamak ini datang untuk mengambil pesanan. Maka kami masing-masing meng”order” minuman ikut selera masing-masing. Semua membuat pesanan minuman panas.

Maka beberapa minit kemudian, minuman yang dipesan pun tiba. Saya dan beberapa rakan saya kurang berpuashati. Yang kami order adalah minuman panas, tapi yang dihantar suam sahaja bagaikan kopi atau teh tarik.

Salah seorang diantara kami memanggil mamak yang mengambil pesanan tadi. Maka kawan saya itupun mengeluarkan kata-kata kepada simamak tadi yang berbunyi begini;

“Lain kali kalau kita orang order air panas, pakai air panas bukan air suam”.

Untuk membuatkan simamak itu lebih faham, seorang lagi rakan saya pula mengangkat cawan sambil berkata “air panas, mesti air panas, faham ka?”

Entah faham entah tidak simamak itupun mengangguk-ngangguk dan terus beredar dari situ. Beberapa minit kemudian simamak itu kembali kemeja kami dengan membawa beberapa gelas air panas.

Kami memandang antara satu sama lain. Nak marah ada, nak ketawa pun ada.

Alahai mamak. Mengapalah kau begitu?


- Sabri Jalil