Sabtu

Barisan Kabinet, Mengapa Negeri Perlu Kecewa?

Kabinet baru telah diumumkan beberapa hari lalu. Ada yang sudah membuat penilaian awal dengan barisan kabinet baru walaupun impaknya masih jauh lagi.

Dua buah negeri melahirkan rasa kecewa dengan barisan yang ada kerana dikatakan tiada wakil mereka dalam kabinet. Dua negeri itu ialah Melaka dan Perlis.

Persoalannya, mengapa perlu tidak berpuashati kerana tiada anak negeri dalam cabinet? Adakah kabinet mesti dibentuk berasaskan perwakilan?

Menteri dalam kabinet adalah mereka yang bekerja untuk seluruh kawasan di Malaysia. Walaupun mereka dari Sarawak mereka tidak berkhidmat untuk rakyat Sarawak sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia  termasuk negeri-negeri yang diperintah oleh parti yang membangkang.

Tidakkah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang menjadi kepala negeri melapur terus kepada Perdana Menteri tentang hal ehwal negeri? Sesungguhnya mereka yang lebih tahu tentang masalah negeri dari menteri kabinet.

Jadi, mengapa perlu bimbang dan kecewa jika tiada anak negeri dilantik dalam kabinet?

Sudah sampai masanya kita menghapuskan mentaliti kabinet berperwakilan ini. 

Kalau dalam sebuah negeri mempunyai 10 pemimpin yang layak menjadi menteri kabinet, maka lantiklah, asalkan mereka mampu memberi impak kepada rakyat dan negara tanpa ada sikap berat sebelah.  

- Sabri Jalil