Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Isnin

Asal Berbeza Pendapat......

Siapa tidak kenal Harussani Zakaria, kini bergelar Tan Sri, mufti Perak yang bersuara lantang. Beliau rajin dan berani memberi teguran dan pendapat tidak kira dari pihak mana.

Orang-ramai mungkin masih ingat, beliau pernah mengkritik kegilaan Bollywood oleh masyarakat Melayu Malaysia. Sudah tentu sasarannya ialah badan-badan penyiaran termasuk milik kerajaan iaitu RTM.

Beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan yang pedas dan harus ditelan iaitu konsert di Jom Heboh adalah haram. Siapa penganjur? Jawapannya TV3.

Lebih menggemparkan beliau mendedahkan isu murtad. Menurut beliau ada 100,000 umat Islam di Negara ini telah keluar Islam. Kenyataan beliau tidak disenangi oleh setengah pihak termasik jabatan yag berkaitan dengan keagamaan.

Maka atas kenyataan itu Harrussani dianggap sebagai pro pembangkang.

Terbaru, Haussani melahirkan rasa kecewa kepada sebuah parti politik kerana menggagalkan idea kerajaan perpaduan. Beliau dikecam hebat oleh parti itu malah digelar sebagai jurucakap UMNO. Tak kurang juga yang menggelar sebagai talibarut UMNO.

Beginilah cara masyarakat kita menilai. Asalkan pandangannya tidak memihak akan dianggap musuh. Masyarakat kita tidak boleh menerima perbezaan pendapat, sedangkan perbezaan pendapat itu melahirkan pilihan mana yang terbaik.

Kalau dalam sebuah organisasi, terutamanya parti politik, yang berbeza pendapat akan “ditebas”. Inilah budaya politik Melayu yang berpaksi kepada mentaliti kelas ketiga. Budaya ini menyekat kebebasan mengeluarkan pendapat dan idea. Yang pastinya ia tidak selari dengan prinsip demokrasi.

Namun yang anehnya, idea kerajaan perpaduan adalah idea dari Presiden Pas. Mendapat sokongan daripada Majlis Ulama Pas sendiri dan sebahagian pemimpin Pas.

Mengapa mereka ini tidak digelar sebagai talibarut UMNO?


- Sabri Jalil

Ahad

Bahasa Inggeris, pengalaman saya

Saya adalah seorang insan Melayu yang boleh bertutur bahasa Inggeris @ BI. Kini bekerja dalam industri kewangan dan pelaburan. BI saya mungkin tidak setaraf dengan Mat Salleh (tetapi mungkin lebih baik dari Haji Salleh) atau setidak-tidaknya dengan Dr. Mahathir. Tetapi saya yakin, dari segi mutu pertuturan dan tulisan, BI saya boleh diterima dan difahami oleh para audien saya. Jika tidak mana mungkin saya telah diterima sebagai seorang kakitangan bertaraf eksekutif di sebuah syarikat multinasional (1990-1992) dan juga telah diterima sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah universiti swasta, Wawasan Open University, pada 2008 yang mana BI adalah bahasa pengantarnya.

Dalam urusan kerja seharian pula, saya menggunakan BI terutamanya bila berurusan dengan pelanggan yang gemar berurusan dalam BI. Malah dalam seminar dan kursus yang berkaitan dengan kerjaya saya, BI adalah bahasa perantaraan.

Untuk makluman pembaca, saya adalah keturunan Jawa (sebahagian rumpun Melayu) dan membesar di sebuah perkampungan terpencil di negeri Perak dimana seratus peratus penduduknya adalah orang-orang Jawa. Atas faktor itulah mungkin nama kampung saya diberi nama sebagai Kampung Jawa.

Bahasa Jawa menjadi bahasa pertuturan harian terutamanya dalam hal kemasyarakatan dan kekeluargaan. Tiada bahasa lain yang digunakan melainkan Jawa. Bahasa Melayu tidak digunakan langsung dan saya tidak tahu walau sepatah pun pada masa itu.

Persekitaran hidup di zaman kanak-kanak itu telah mengundang masalah besar apabila saya melangkah ke darjah satu. Untuk makluman pembaca, saya dimasukkan ke sekolah Inggeris oleh bapa saya dan menjadi orang yang pertama di kampung tersebut memasuki sekolah Inggeris yang terletak di bandar Tapah dimana jaraknya adalah sepuluh batu dari kampung saya.

Oleh kerana saya tidak mendapat pendidikan pra sekolah atau tadika, maka saya tidak boleh bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu @ BM apatah lagi BI. Bayangkan, apa yang boleh saya faham ketika cikgu mengajar. Tidak kiralah samada ia mengajar dalam BM atau BI. Sedikitpun saya tidak faham, kerana saya menggunakan “bahasa ayam” manakala bahasa cikgu saya  menggunakan “bahasa kambing”. 

Dipendekkan cerita sehinggalah tamat tingkatan 6 Atas, mutu BI saya masih menyedihkan. Memang saya boleh membaca dalam BI, tetapi hanya boleh membaca, makna istilah dan ayat yang dibaca saya tidak faham. Maka itu sudah tentu saya tidak faham tentang apa yang saya baca, apatah lagi hendak bertutur. BI adalah matapelajaran yang paling membosankan saya di sepanjang alam persekolahan selama 12 tahun kecuali di tingakatan 5 sebab gurunya yang seksi.

Dari darjah satu hingga tingkatan 5 (tingkatan 6 tiada matapelajaran BI), cikgu mengajar BI dalam bahasa Inggeris, tanpa penerangan dalam bahasa lain. Pemahaman saya tentang istilah-istilah dalam BI amat terhad. Kalau dah tak faham tentang istilah sudah tentu sukar untuk memahami ayat. Kalau tidak dapat memahami ayat, maka tidak dapat memahami maksud keseluruhannya.

Itulah yang saya dan para pelajar Melayu lain telah alami disepanjang persekolahan. BI menjadi matapelajaran yang sukar. Namun sekolah tidak pernah menukar pendekatan walaupun didapati masih ramai pelajar lemah BI pada masa itu. Pencapaian setiap bulan sungguh menyedihkan.

Guru matematik saya menyedarkan saya bahawa BI sangat penting, terutamanya untuk pengajian di peringkat tinggi. Maka saya berfikir saya mesti menguasai BI supaya boleh membaca dan memahami sebarang perkara dalam BI.

Pesanan guru saya memang benar, apabila saya melangkah ke tahun satu di Fakulti Ekonomi & Pentadbiran di Universiti Malaya, saya dapati 95% buku rujukan adalah dalam BI dan sebahagian kuliah dianjurkan dalam BI bergantung kepada siapa pensyarahnya. Saya menghadapi kesukaran untuk menguasai bidang kursus yang saya ambil kerana tidak menguasai BI. Di UM memang ada kursus BI tetapi pendekatannya sama dengan pendekatan di sekolah, maka ia tidak memberi sebarang kemajuan kepada saya.

Di UM, BI diwajibkan kepada pejalar tahun pertama dan wajib lulus. Andaikata gagal pelajar tidak dibenarkan meneruskan pengjian ke tahun seterusnya biarpun cemerlang dalam kertas-kertas ekonomi. Dasar ini mencemaskan saya.

Maka itu saya harus mengambil langkah drastik agar saya dapat menguasai BI dan seterusnya menguasai kertas-kertas displin ekonomi serta membolehkan saya keluar dari UM dengan segulung ijazah ekonomi yang saya impikan. Tindakan pertama yang saya lakukan ialah mengenalpasti punca yang menjadi kesukaran untuk memahami dan menguasai BI dan saya yakin punca itu jugalah yang menjadi masalah kepada para pelajar lain.

Saya tidak pernah mengambil kelas tambahan untuk mempertingkatkan penguasaan BI tetapi saya berbalik kepada masalah asas. Alhamdullilah dengan cara tersendiri ia dapat mengatasi kelemahan dan menguasai BI dalam tempoh yang singkat.

Pendekatan yang sama saya amalkan kepada anak-anak saya tanpa perlu ke kelas tambahan. Kelas tambahan bukan sahaja meningkatkan kos tetapi tidak berkesan kerana tidak mengambil kira masalah asas.Anak saya belajar matematik dan sains dalam BI di sekolah tetapi BInya masih lemah. Namun dengan pendekatan yang saya amalkan ia menunjukkan peningkatan. Saya jangkakan anak sulung saya mendapat 4A dalam UPSR, tetapi oleh kerana ia menunjukkan peningkatan BI maka dia mendapat 5A.

Terbukti pendekatan yang saya gunakan amat berkesan bukan hanya pada diri saya tetapi juga anak-anak. Rupa-rupanya pendekatan yang sama digunapakaikan oleh sekolah Petronas (sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar) tetapi amat menghairankan mengapa kementerian tidak mahu mencontohi Petronas.

Pendekatan PPMSI bukan sahaja pelik tetapi memerlukan kos berjuta ringgit sedangkan ada pendekatan yang lebih praktikal, berkesan dan yang lebih penting kosnya yang murah dan tidak membebankan kewangan kerajaan itu sendiri.

Satu perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah, bila kita sebut tentang mutu bahasa, penguasaan “grammar” adalah intipatinya. Adakah istilah dalam matematik dan sains yang terhad itu boleh memperbaiki “grammar" para pelajar? Adakah pengajaran matematik dan sains memberi jaminan bahawa pelajar boleh bertutur dan menulis dengan baik?...iaitu dengan "grammar" yang betul.

Mari kita renung peristiwa ini;

Ahmad seorang pelajar yang ingin menguasai bahasa Mandarin dan dia langsung tidak faham walau sepatah istilah Mandarin. Pertama kali dia hadir kelas Mandarin gurunya bertutur dalam bahasa Mandarin tanpa menterjemah dalam bahasa Melayu. Bolehkah Ahmad akan faham matapelajaran tersebut?

Kes ini boleh dijadikan panduan untuk mengatasi masalah BI.

Bahasa Melayu yang sudah maju kehadapan sebelum ini, sebagai bahasa pengantar dalam sains dan matematik bukan sahaja di sekolah malah di universiti, tetapi kini telah dimundurkan hanya kerana dasar politik.

Akibatnya bangsa lain memandang rendah keupayaan BM dan memberi ruang kepada mereka untuk menuntut supaya digantikan dengan bahasa mereka. Maka itu jangan salahkan mereka. Jangan melenting dan berdemonstrasi dengan penuh emosi bila mereka membuat tuntutan sedemikian. Kita harus salahkan diri sendiri.

Wahai para pembuat dasar, masalah pendidikan hanya boleh diselesaikan dengan pendekatan pendidikan. Masalah bahasa hanya boleh diselesaikan dengan pendekatan bahasa. Pendekatan politik tidak akan menyelesaikan secara hakiki melainkan hanya sebagai pendokong.

Orang lain maju seiring dengan warisan budaya bangsa mereka, kita maju dengan mengorbankan budaya warisan sendiri. Bangsa lain mahukan bahasa mereka sebagai bahasa ilmu, malah mencadangkan supaya dijadikan bahasa perantaraaan dalam pentadbiran kerajaan, tetapi kita adalah sebaliknya.

Rupa-rupanya orang melayu tidak yakin dengan tamaddun sendiri.

Tepuk dahi fikirlah sendiri.

- Sabri Jalil

Selasa

Isu Bahasa Inggeris Tiada Kesudahan Jika....

Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik (PPSMI) nampaknya masih berterusan. Sejak ia dilaksanakan polemik masih berpanjangan dikalangan dua kumpulan yang mempunyai pandangan yang berbeza. Satu menyokong, satu lagi menentang.

Yang terkini sekumpulan sasterawan telah menyerahkan memorandum kepada menteri pendidikan dan dilaporkan juga akan mengadakan demonstrasi aman sebagai bantahan kepada PPSMI. Ada juga kumpulan yang menghentam kumpulan sasterawan ini kerana menentang dasar yang mahu memajukan anak bangsa sendiri, kononnya.

Persoalan disini kepada kumpulan-kumpulan yang berpolemik ini ialah, adakah mereka tahu objektif perlaksanaan PPSMI ini? Siapakah yang bertanggung jawab mencadangkan dan melaksanakan PPSMI dan bertanyalah semula adakah perlaksanaan PPSMI ini untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris atau meningkatkan mutu pelajaran sains dan matematik.?

Saya berpendapat isu dan polemik akan selesai bila kita menoleh kebelakang sebentar dan mengingati balik apakah objektif PPSMI. Kalau dah objektifnya kita sendiri kabur bagaimana kita nak menyelesaikan masalah ini?

Persoalan yang berlegar dalam kepala sekarang yang berkaitan dengan polemik PPSMI ini, mengapa kita tidak balik kepada masalah asas? Mengapa masalah bahasa tidak diselesaikan dengan pendekatan bahasa. Mengapa masalah pendidikan tidak diselesaikan dengan pendekatan pendidikan. Adakah isu yang timbul sekarang ini menggunakan pendekatan pendidikan atau politik untuk menyelesaikannya.?....persoalan ini perlu dirungkaikan agar selepas ini kita tidak terlalu memfokuskan kepada isu yang sepatutnya tidak timbul sejak berpuluh tahun lalu….agar kita lebih fokus kepada agenda yang lebih besar…….ekonomi.

Apakah masalah asas yang saya maksudkan? Sila baca artikel "Bahasa Inggeris, pengalaman saya"

- Sabri Jalil

Ahad

Konspirasi Oh Konspirasi

Nampaknya topik konspirasi menjadi pilihan saya sebagai bahan pertamanya dalam blog saya. Asalnya saya memilih topik saham sebagai topik pertama. Tetapi memandangkan isu konspirasi nampaknya menjadi hangat ketika blog ini diasaskan, maka biarlah ia menjadi bahan muatan dalam blog ini.

Pertama kali saya mendengar istilah konspirasi dalam politik ialah pada tahun 1995 yang disebut oleh Ketua Pemuda Pas, saudara Mahfuz Omar dalam roadshow politik untuk mempertahankan kes khalwat Mohamad Sabu.

Namun istilah politik menjadi popular serta menjadi sebutan di mana sahaja dalam kes liwat dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) daripada kerajaan dalam tahun 1998. Menurut DSAI tuduhan dan pemecatannya adalah konspirasi peringkat tertinggi dan yang paling besar dalam sejarah politik negara.

Sepuluh tahun berlalu, istilah konspirasi kini menjadi popular semula disuarakan dan dipopularkan oleh orang sama rentetan kes demi kes yang dihadapi oleh beberapa pemimpin pembangkang khasnya PKR. Daripada kes rasuah yang dihadapi oleh dua ADUN di Perak, yang kini menjadi ADUN Bebas dan menyokong BN, hinggalah kepada kes liwat DSAI siri kedua diikuti oleh kes Elizabeth Wong, ADUN Bukit Lanjat dan kes penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Khalid Ibrahim.

Konspirasi mengikut kamus Dewan ialah satu rancangan rahsia untuk memalukan sesuatu perkara yang diluar daripada peraturan atau undang-undang. Dengan kata lain ia bermakna pakatan jahat, Tetapi mengapa istilah celupan bahasa Inggeris itu lebih popular digunakan, saya kurang tahu, mungkin bunyinya lebih intelek kepada penyebutnya. Maka dalam ruangan ini biarkah saya gunakan istilah konspirasi.

Sudah banyak saya bertanya kepada rakan-rakan saya yang berminat mengikuti perkembangan politik ini, “konspirasi itu apa bro?”, kebanyakannya telah memberi jawapan bagaikan budak sekolah dan tidak kurang juga yang terdiam. Nampaknya orang kita suka bercakap tentang perkara yang dia “tahu tetapi tidak faham”. Maaf saya memang selalu membezakan antara “tahu” dan “faham”

Tidak boleh kita nafikan, bahawa bagi si pemangsa, konspirasi adalah sebagai alat untuk mencapai matlamat politik. Bagi si mangsa pula istilah konspirasi digunapakai sebagai alat untuk merayu dan propaganda mempertahankan atau melepaskan diri dan sekaligus memburukkan pihak lawan.

Kita berbalik kepada kes-kes terkini dalam warna-warna politik tanah air. Antara yang hangat sekarang ialah kes ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang menjadi mangsa oleh golongan yang tidak bertanggungjawap dimana gambar yang mengaibkan dirinya diedarkan melalui internet. Apapun tujuan, perbuatan ini tetap tidak bertanggung jawap. Kes yang satu lagi ialah Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, yang menghadapi kes penyalahgunaan kuasa.

Bagi pihak PKR semua yang berlaku adalah konspirasi dari pihak lawan. Itu kalau kita pandang hanya dari satu sudut ianya mungkin ada kebenarannya . Apapun saya lebih tertarik dengan pandangan Naib Presiden Pas, Husam Musa, katanya apa yang dikakukan oleh pengedar gambar Elizabeth Wong adalah tidak bermoral, perbuatan membenarkan lelaki hadir dalam rumahnya dalam keadaan belum berkahwin juga tidak bermoral, ironinya rumah Elizabeth bukannya diceroboh. Tambahnya lagi perbuatan mengambil kesempatan oleh musuh politik untuk memburukkan nama beliau juga adalah tidak bermoral. Lebih menarik lagi Husam berkata bagus juga kalau perkara-perkara ini didedahkan kerana kita boleh tahu tahap moral seseorang pemimpin. Nampaknya Husam Musa pengambil pendekatan yang amat berbeza. Beliau melihat dari berbagai sudut dan komen beliau nampaknya adil. Beliau berfikir secara lateral.

Pandangan saya tentang konspirasi politik ialah, dalam politik pihak lawan sentiasa akan mencari kelemahan dan kesalahan kita sebagai satu cara untuk mengujudkan tanggapan kepada masyarakat. Ini adalah salah satu kaedah psikologi. Namun musuh sukar untuk mengambil kesempatan seandainya diri kita tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Elizabeth tidak akan menjadi mangsa seandainya beliau tidak membenarkan teman lelaki duduk serumah. Tetapi perbuatannya bagaikan memberi peluru kepada mangsa untuk menembak beliau.

Tentang kes Menteri Besar Selangor pula, tak usah bimbanglah kalau ini konspirasi lawan seandainya kita tidak melakukannya. Tetapi kalau kita melakukannya jangan salahkan lawan, salahkan diri sendiri kerana kita memberi ruang kepada lawan untuk berkonspirasi. Mereka juga akan mengambil kesempatan yang sama jika ada peluang…percayalah…Lihatlah apa yang terjadi kepada Datuk Seri Najib samada benar beliau terlibat atau tidak saya sendiri tdak dapat mengagak tetapi sudah sering menjadi bahan dalam kempen politik.

Konspirasi tetap konspirasi, namun kalau diri tidak melakukan perkara yang tidak bermoral ruang konspirasi amat terbatas.

“Tepuk dada tanya selera” …ops peribahasa itu sudah tidak sesuai… “tapuk dahi tanya diri sendiri”

Sabri Jalil