Ahad

Gembeling Kepakaran Mereka Demi Mencapai Agenda Ekonomi Ummah

Teruja dengan daya usaha beberapa anak muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemasaran media sosial (termasuk FB marketing). Usaha mereka menganjurkan seminar/kursus pemasaran ini sesungguhnya amat membantu para peserta secara langsung dalam bidang perniagaan.

Seminar/kursus tersebut bukan sahaja mengenakan yuran yang rendah tetapi juga membimbing peserta bagaimana meningkatkan jualan dengan pantas. Ia juga turut membimbing para peserta bagaimana memulakan perniagaan walaupun peserta tidak mempunyai produk sendiri.

Dikalangan  para peserta, didapati  kebanyakan mereka adalah golongan muda atau belia. Mereka mendapat menafaat secara langsung yang besar dan mendapat hasil yang diluar jangkaan mereka sama sekali. Malah ada dikalangan mereka adalah pelajar yang mampu mencipta pendapatan ribuan ringgit sebulan hanya dengan menjual “teddy bear” secara pos.

Saya tidak pernah hadir dalam seminar-seminar mereka kerana kekangan masa tetapi pernah membeli rakaman DVD seminar yang dijual dan ternyata ia memberi menafaat dan amat membantu. Usaha mereka ini ternyata mampu melahirkan usahawan muda dengan pantas walaupun modal yang diperlukan adalah kecil. Ia juga membantu pengeluar-pengeluar kecil dan sederhana memperluaskan pasaran dengan mudah.

Biro-biro yang berkaitan dengan keusahawanan dalam NGO  (terutama NGO belia) dan parti-parti politik seharusnya mengambil perhatian akan perkara ini. Begitu juga dengan koperasi. Usaha menganjurkan program latihan keusahawanan dalam bentuk latihan pemasaran kaedah baru ini harus digiatkan dengan menjemput mereka sebagai penyampai atau trainer.  Jika program ini digiat dan diperluaskan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut dengan kerjasama daripada mereka yang pakar dalam bidang pemasaran ini, maka ia pasti akan mempercepatkan matlamat pencapaian dalam penguasaan ekonomi ummah.


Sesungguhnya mereka bukan penganjur skim cepat kaya tetapi mereka melatih orang lain bagaimana meningkat jualan secara pantas dalam perniagaan yang tulen. Usaha mereka harus dihargai dan diberi perhatian kerana membantu membentuk masyarakat usahawan tanpa melalui laungan ideologi politik tetapi melalui tindakan dan ilmu yang mereka miliki. 

Kerajaan juga harus mendekati kumpulan pakar ini bagaimana mereka boleh membantu pencapaian matlamat kerajaan untuk merealisasikan cita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan