Rabu

Guru, Kepada Mereka Saya Terkenang

Sempena hari guru tahun ini hati saya tergerak untuk membuat coretan tentang mereka sebagai pengisian untuk blog saya yang sudah lama tidak dikemaskini. Saya mengenang jasa semua guru, tetapi bagi mereka yang namanya tidak disebut  dalam blog ini bukan bermakna saya melupakannya. Saya cuma berhasrat membuat coretan tentang beberapa orang guru berkenaan kerana mereka mempunyai keistimewaan, kewibawaan, karenah dan perwatakan yang tersendiri.

Cikgu Michael Lim
Guru kelas semasa darjah empat. Penyayang tanpa mengira bangsa dan mempunyai budi bahasa yang tinggi. Menghormati murid-murid dan suka buat lawak dengan selamba. Semua murid-murid menyayangi beliau kerana sifat kebapaannya yang tinggi. Beliau juga adalah guru bahasa jawi saya walaupun beliau bukan berbangsa Melayu. Saya mempunyai dua orang guru dalam bahasa jawi dan kedua-duanya berbangsa Cina dan  beliau adalah salah seorang daripadanya.

Perkataan beliau yang terkenal dikalangan murid-muridnya ialah “adi pek”. Ia bermaksud pukul dengan rotan dalam bahasa tamil (kalau salah tolong betulkan). Selalu memberi peringatan kepada murid-muridnya “kalau kamu buat bising dalam kelas nanti saya “adi pek”

Cikgu Zainal Abidin
Guru kelas darjah lima. Suka senyum sendiri . Memakai cermin matanya hitam ala batman. Sangat penyabar dengan karenah murid-murid. Tetapi suatu hari beliau hilang sabar dengan seorang karenah seorang murid yang kurang ajarnya melampau. Beliau menendang beg rotan murid tersebut yang penuh dengan buku, meluru kencang seperti peluru hingga ke dinding bahagian belakang kelas. Memang kuasanya macam batman.

Cikgu Subramaniam
Guru matematik darjah lima. Namanya lelaki tetapi sebenarnya seorang perempuan. Garangnya ya rabbi tak tahu nak cerita. Bila tiba giliran subjek matematik semua murid  menunjukkan muka  “tension” menunggu beliau masuk. Ada yang menggigil. Sebaik sahaja masuk murid-murid  mesti bangun dengan pantas dan serentak sambil mengucapkan selamat pagi. Sebutan juga mesti serentak, jika tidak terpaksa diulang ucapan selamat pagi itu sehinggalah beliau berpuas hati.

Setiap soalan matematik yang ditanya, murid mesti menjawapnya  dalam beberapa saat. Jika tidak pelempang pasti singgah di pipi. Saya adalah antara murid yang puas dengan pelempang beliau.

Cikgu Pritam Singh
Guru kelas darjah enam. Tiada apa yang menarik tentang beliau melainkan satu ungkapan  bila hendak tahu samada murid-muridnya faham atau tidak apa yang diajar olehnya. Ini ungkapannya “ada arti ke tak da arti”. Maksudnya faham atau tidak faham. Satu lagi istilah popular beliau ialah “roti panjang” yang  bermaksud rotan.

Cikgu Ismail
Guru sejarah tingkatan dua. Berasal dari Kelantan. Oleh kerana pertama kali kami mendengar  loghat bahasa Kelantan, maka gaya bahasa beliau sentiasa jadi ajukan kami, tetapi kami hanya berani mengajuknya  dibelakang. Di depan beliau sudah tentu tiada siapa berani, kerana beliau boleh tahan garangnya. Lama juga mengajar di sekolah SMBA sehinggalah saya tamat tingkatan enam. Bila dia mendapat tahu saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti, ini kata-katanya kepada saya “Sabri kamu baguh sekarang, tak macam dulu…bengong”. Direct je dia cakap.. 

Ustaz Aminuddin
Subjek  beliau  sudah tentu Pengetahuan Agama Islam. Menjadi ustaz saya ketika di tingkatan satu dan dua. Pendekatan beliau dalam pengajaran menyebabkan saya suka dengan kelas beliau. Cara beliau mengajar walaupun serius tetapi diselang-selikan dengan lawak jenaka dan apa yang diajar oleh beliau mudah melekat dalam kepala sehingga hari ini. Beliau tidak hanya mendidik tentang apa yang terkandung dalam sukatan pelajaran tetapi juga perkara-perkara yang diluar daripada itu menyebabkan saya merasakan pengetahuan saya lebih advance dari orang yang lebih dewasa pada ketika itu (maaf bukan nak berbangga tetapi sekadar nak memaklumkan impak ilmu yang Ustaz curahkan kepada kami).

Sehingga kini  ada beberapa perkara yang beliau ajar tidak diketahui oleh ramai orang. Contohnya  tentang doa qunud. Sebenarnya memang ada istilah qunud panjang dan qunud pendek tetapi ia bukan seperti yang  kita fahami  pada hari ini yang mana ia sering menjadi bahan jenaka dalam ceamah-ceramah agama.

Qunud panjang menurut beliau ialah doa qunut yang lengkap dengan 12 ayat,  tetapi sebenarnya kita boleh membaca tanpa menghabiskan 12 ayat, malah masih  dibolehkan kalau membaca ayat yang pertama sahaja dan  diikuti dengan sujud. Itulah yang dimaksudkan qunud pendek.

Melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang adalah satu lagi perkara. Sehingga kini apabila saya lalu di hadapan orang sembahyang saya akan samada ditegur atau dijeling oleh setengah orang dewasa sedangkan jarak saya melintas melebihi dari jarak  sujud. Malangnya masih ramai orang tidak tahu tentang perkara ini.

Bergerak dan melangkah dalam sembahyang sebenarnya dibolehkan dengan tujuan untuk membetulkan syaf tetapi ada caranya. Pergerakan muka juga tidak ada masalah asalkan dada tidak bertukar arah daripada kiblat.

Menyelamatkan nyawa seekor binatang walaupun seekor anjing balasannya adalah syurga dan saya pernah dua kali menyelamatkan nyawa seekor anjing  yang cedera dilanggar kereta . Peristiwa itu  dilihat oleh isteri imam surau yang kebetulan lalu disitu, kemudian menjadi bahan cerita yang menjadi buruk sangka di taman perumahan di mana saya tinggal. Mungkin isteri tok iman tidak pernah mendengar kisah seorang pelacur masuk syurga kerana menyelamatkan seekor anjing yang sedang kehausan. Kisah ini Ustaz pernah ceritakan dalam kelas dan saya yakin apa yang saya lakukan adalah benar.

Dan banyak lagi yang Ustaz Aminuddin ajar termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan perkara syirik, menghormati GURU kita biarpun mereka orang kafir, menghormati orang tua biarpun orang kafir, menghormati jiran biarpun dia orang kafir, tidak salah malah digalakkan menjemput orang kafir hadir dalam majlis agama kita. Tetapi  saya pernah digelar bodoh tak reti agama kerana hasrat saya mahu menjemput seorang YB bukan Islam dalam majlis maulidul Rasul sedangkan apa yang saya lakukan adalah kerana teringat ajaran Ustaz Aminuddin.

Dan banyak lagi ilmu yang Ustaz curahkan kepada anak-anak muridnya. Dikhabarkan beliau masih sihat walafiat sehingga kini.  

Cikgu Jamaludin Ani
Guru matematik  tingkatan empat dan lima. Sentiasa memberi motivasi kepada murid-muridnya. Dalam mengajar kadangkala diselang-seli dengan sindiran kerana kecewa dengan perangai anak bangsa yang didiknya. Suka menyindir adalah sebab mengapa saya tidak menyukai beliau.

Beliau juga mungkin seorang guru yang kecewa dengan perangai saya yang tidak pernah menunjukkan sikap serius bila beliau mengajar. Antaranya ialah peristiwa ini;

Beliau menulis satu permasalahan matematik di papan hitam lalu bertanya “Murid-murid, macam mana kita nak cari jawapan ini, siapa boleh tunjukkan macam mana nak buat jalannya?”. Saya menyampuk dengan  dengan selamba “ itu kena panggil JKR cikgu”. Jawapan saya disambut dengan riuh ketawa oleh semua murid dalam kelas. Cikgu Jamaluddin yang asalnya serius  akhirnya  tidak dapat menahan ketawa sambil menggeleng kepala. Selepas riuh ketawa reda, satu sindiran dilemparkan kepada saya “nanti masa exam awak ambik kertas soalan tu, duduk tengah jalan sana dan jawap  soalan-soalan tu. Semua  jawapan ada di sana”.

Cikgu Jamaluddin  ialah antara guru yang terkejut bila mendapat tahu saya muncul menjadi pelajar terbaik aliran bukan sains dan melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Bila saya terserempak dengan beliau di bilik guru beliau menghulurkan tangan mengucapkan tahniah tetapi sempat melemparkan ayat  ini,  “macam mana budak jahat boleh jadi best student?”. Saya hanya tersengih dan saya tahu ayat beliau walaupun bunyinya semacam tetapi beliau sebenarnya gembira

Sepanjang saya di tingkatan enam hubungan saya dengan beliau menjadi baik walaupun  beliau tidak mengajar di tingkatan enam. Bila berjumpa kami sering berbual dan berbincang tentang perkara-perkara semasa.

Enam tahun selepas meninggalkan sekolah, saya  terserempak dengan beliau di pekan Tapah. Wajahnya sudah menampakkan perubahan usia kerana  rambut dan janggut sudah beruban. Terharu saya bila beliau masih mengingati nama saya. Bangganya dia tak terkira dia kerana pada masa itu saya adalah Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat yang dimiliki oleh agensi kerajaan iaitu MARA.

Satu perkara bernilai yang ingin saya kongsikan di sini ialah,  dalam tidak sukanya  saya terhadap beliau  ketika di tingkatan empat, ada satu perkara yang saya kagumi. Beliau mempunyai pengetahuan am yang hebat  kerana tabiatnya yang minat membaca. Kerana mengkagumi beliaulah yang menyebabkan saya menjadi ulat buku semasa di tingkatan lima dan suka membaca sehingga hari ini. Karakter beliau telah mengubah tabiat dan pemikiran saya.

Cikgu Osman Maseri
Sejak saya melangkah ke tingkatan satu beliau sudah mengajar di SMBA sehinggalah saya tamat di  tingkatan enam. Beliau seorang guru yang rugged dan suka bergaya dengan motosikal scramblernya. Maklumlah masa itu usianya muda. Maka itulah beliau juga suka mengurat. Tengah mengajarpun sempat mengurat pelajar baru yang lalu lalang depan kelas untuk membuat pendaftaran tingkatan enam.  Para pelajar yang mendaftar berpakaian biasa. Mungkin atas sebab itulah beliau berani mengurat.

Cikgu Osman mengajar  Bahasa Malaysia, Sastera Melayu dan Geografi ketika tingkatan empat. Kemudian menjadi guru kelas semasa di tingkatan enam bawah dan enam atas. Matapelajaran beliau semasa tingkatan enam ialah Kertas Am.  Semasa saya di tingkatan enam perwatakan beliau sudah berbeza. Beliau sudah bertukar menjadi seorang yang warak.

Semasa di tingkatan empat  saya tidak berapa suka dengan  beliau kerana  sangat mengambil berat tentang displin. Beliau pernah melancarkan derma dalam kelas untuk membiayai kos menggunting rambut saya yang sudah panjang. Sebelum itu beliau beberapa kali memberi amaran supaya saya memotong rambut tetapi saya tidak melakukannya . Bukan saya tidak mengendahkan amarannya .tetapi sebenarnya saya tidak berduit untuk menggunting rambut. Seolah-olah beliau tahu  masalah saya, lalu beliau melancarkan kutipan derma dalam kelas. Saya malu dengan tindakannya  tetapi saya yakin niat beliau bukan untuk memalukan saya tetapi mungkin hanya sekadar membantu.

Beliau seperti juga Cikgu Jamaludin, terkejut bila saya muncul sebagai best student dan masuk ke tingkatan enam. Sepanjang saya di tingkatan enam hubungan saya dengan Cikgu Osman amat baik sekali sehinggalah beliau menaruh harapan dan kepercayaan kepada saya dalam beberapa perkara termasuk meminta saya menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu, selain mahu saya menjadi ketua kelas untuk dua tahun berturut-turut.

Cikgu Harun
Guru ekonomi tingkatan enam. Cara beliau mengajar amat menakjubkan dan menggambarkan beliau seorang yang  mahir dengan subjek ini. Rasa bertuah mempunya guru seperti beliau kerana penerangannya mudah difahami . Kebolehanya adalah satu kelebihan bagi saya yang meminati subjek ekonomi dan kebetulan  memang bercita-cita mahu menjadi pakar ekonomi.

Berkat usaha dan bakat pengajarannya yang semula jadi, saya mendapat score A dan markah tertinggi untuk ekonomi kertas satu dalam pepereksaan STPM. Pencapaian saya dalam subjek ini dijadikan bahan cerita oleh beliau dalam kelas pengajarannya sebagai motivasi kepada pelajar yang akan menduduki STPM untuk tahun itu. Kerana kuputusan yang baik dalam subjek ekonomi dan dengan sokongan dari subjek-subjek lain, hasrat saya untuk melanjutkan pelajaran ke Fakulti Ekonomi & Pentadbiran di Universiti Malaya telah tercapai dan membolehkan saya bekerja dalam bidang yang berkaitan sehingga hari ini.

Cikgu Khadijah
Guru geografi tingkatan enam. Suka pok pek pok pek, tetapi saya tidak pernah membencinya malah beliau sangat disukai oleh murid-murid yang lain. Sangat gigih dalam memberikan kefahaman kepada murid-muridnya. Suka mencubit perut bila anak muridnya yang degil walau  pun dah dewasa (tingkatan enam). Beliau kecewa kerana saya tidak dapat principal dalam subjek geografi. Apakan daya salah satu kertas subjek tersebut saya dapati terlalu sukar soalannya.

Itulah catatan tentang sebahagian guru saya sempena hari guru tahun ini. Tahun depan insyaAllah jika panjang umur dan diizinkan olehnya akan saya coretkan pula tentang guru-guru saya semasa menuntut di university.

Guru-guru, jasamu tetap ku kenang hingga ke akhir hayat. Biarpun pahit yang tuan beri, manis yang ku kenang.

1 ulasan: