Isnin

Asal Berbeza Pendapat......

Siapa tidak kenal Harussani Zakaria, kini bergelar Tan Sri, mufti Perak yang bersuara lantang. Beliau rajin dan berani memberi teguran dan pendapat tidak kira dari pihak mana.

Orang-ramai mungkin masih ingat, beliau pernah mengkritik kegilaan Bollywood oleh masyarakat Melayu Malaysia. Sudah tentu sasarannya ialah badan-badan penyiaran termasuk milik kerajaan iaitu RTM.

Beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan yang pedas dan harus ditelan iaitu konsert di Jom Heboh adalah haram. Siapa penganjur? Jawapannya TV3.

Lebih menggemparkan beliau mendedahkan isu murtad. Menurut beliau ada 100,000 umat Islam di Negara ini telah keluar Islam. Kenyataan beliau tidak disenangi oleh setengah pihak termasik jabatan yag berkaitan dengan keagamaan.

Maka atas kenyataan itu Harrussani dianggap sebagai pro pembangkang.

Terbaru, Haussani melahirkan rasa kecewa kepada sebuah parti politik kerana menggagalkan idea kerajaan perpaduan. Beliau dikecam hebat oleh parti itu malah digelar sebagai jurucakap UMNO. Tak kurang juga yang menggelar sebagai talibarut UMNO.

Beginilah cara masyarakat kita menilai. Asalkan pandangannya tidak memihak akan dianggap musuh. Masyarakat kita tidak boleh menerima perbezaan pendapat, sedangkan perbezaan pendapat itu melahirkan pilihan mana yang terbaik.

Kalau dalam sebuah organisasi, terutamanya parti politik, yang berbeza pendapat akan “ditebas”. Inilah budaya politik Melayu yang berpaksi kepada mentaliti kelas ketiga. Budaya ini menyekat kebebasan mengeluarkan pendapat dan idea. Yang pastinya ia tidak selari dengan prinsip demokrasi.

Namun yang anehnya, idea kerajaan perpaduan adalah idea dari Presiden Pas. Mendapat sokongan daripada Majlis Ulama Pas sendiri dan sebahagian pemimpin Pas.

Mengapa mereka ini tidak digelar sebagai talibarut UMNO?


- Sabri Jalil

Khamis

Keajaiban Al-Quran Statistik Keajaiban Al Quran

Kajian seorang cendekiawan Islam daripada Ikhwanul Muslim, Dr Tariq Al-Suwaidan mendapati beberapa keajaiban statistik dalam Al Quran. Secara ringkasnya kajian tersebut menunjukkan :-

Perkataan/Maksud Disebut dalam Al Quran
Al-Dunya / Al-Akhirah = 115 / 115
Al-Malaikah / Al_Syateen = 88 / 88
Al-Hayat / Al-Maut = 145 / 145
Al-Rajul (Lelaki) / Al-Mara (Perempuan) = 24 / 24
Al-Shahr (Bulan) / Al-Yaum (Hari) = 12 / 365
Al-Bahar (Laut) / Al-Bar (Darat) = 32 / 13

Jika kita mencampurkan jumlah perkataan yang membawa maksud laut dan darat jumlahnya ialah 45 (32+13 = 45).

Jika dibuat kira-kira mudah :

Laut 32/45 X 100 = 71.111%
Darat 13/45 X 100 = 28.889%

Jawapan tersebut menunjukkan peratusan air laut dan darat di dunia hari ini.

Wallahualam...

Maklumat di atas adalah hasil kiriman email daripada seorang sahabat.


-  Sabri Jalil

Rabu

Bahasa Melayu dirosakkan bangsa sendiri


PDFPrintE-mail
Monday, 03 September 2007
Oleh Rasid Rahaman 

BARU-BARU ini, penulis berkesempatan menemubual tokoh cendekiawan negara, Prof Diraja Ungku Aziz berhubung persoalan jati diri orang Melayu. Dalam pertemuan itu, Ungku Aziz menyentuh banyak perkara mengenai orang Melayu, termasuk persoalan bahasa Melayu.

Sempena kemerdekaan negara ke-50 yang baru kita sambut Jumaat lalu, mungkin kita boleh renungkan apa sebenarnya yang cuba dibangkitkan Ungku Aziz. Inilah antara keluhan Ungku Aziz.
Sekarang ramai (doktor) adalah graduan Universiti Malaya (UM), dari Pusat Asasi Sains dan mereka belajar dalam bahasa Melayu juga mereka boleh jadi pandai


Orang Melayu sendiri tidak sayangkan bahasa mereka. Sekarang sudah wujud bahasa rojak? Jika kita lihat dalam televisyen sekarang apa bahasa yang digunakan? Campur Melayu, campur Inggeris, campur Cina. Adakah dengan berbuat demikian jati diri kita akan lebih baik kerana bercakap dengan bahasa itu?

Saya tak fikir begitu. Saya fikir orang Melayu harus ada gerakan (memperbetulkan masalah ini) mulai sekarang.

Ketika saya tamat kolej Inggeris dan sambung belajar di Jepun, apabila saya balik ke Malaysia, saya dapati bahasa rojak belum lagi tiba. Ia mula masuk pada sekitar 1950-an, 1960-an ia berkembang dan kini digunakan di mana-mana.

Bahasa ini digunakan orang Melayu kepada orang Melayu. Bahasa orang Melayu sudah hampir hilang, sudah dicemar. Ini merugikan orang Melayu. Satu pembaikan perlu dilakukan. Kita harus bangun dan lihat di mana kita sekarang dan ke mana kita akan pergi?

Bagi orang Melayu biasa yang belajar di universiti, berapa perkataan Melayu yang dikuasainya? Mungkin 7,000 hingga 8,000 perkataan. Perkataan Inggeris mungkin jumlah yang sama jika bernasib baik dan banyak membaca buku.

Jika kita lihat orang India. Seorang pensyarah saya ketika belajar dulu pernah buat kajian mengenai perkataan Tamil yang digunakan bangsa itu. Dia mendapati, dulu perkataan Tamil ada 10,000, tetapi sekarang, jika nasib baik mungkin 2,000 hingga 3,000 perkataan.

Kita tidak menyedari hal ini, tetapi bagi orang India, perkataan mereka semakin ‘pupus’ dan mengecil. Nasib orang Melayu juga akan jadi macam itu jika orang Melayu sendiri liat bertutur dalam cakap bahasa Melayu sepenuhnya.

Bahasa Melayu hari ini bukanlah bahasa yang tinggi struktur bahasanya, kita tidak perlu bercakap seperti ‘patik sembah’ dan sebagainya. Kita bercakap bahasa Melayu harian, tetapi bahasa itupun semakin mengecil dalam perkataan dan tata bahasa.

Kalau kita boleh campurkan semangat Melayu Baru dengan jati diri orang Melayu yang nak jadi orang Melayu dan orang Melayu nak cakap Melayu, kenapa kita tidak boleh jadi seperti itu?

Orang Melayu mesti juga belajar bahasa Melayu yang betul, belajar lima hingga tujuh tahun, dari sekolah rendah sampai masuk universiti, belajar bahasa Melayu setiap tahun.
Dulu kita jalankan Pusat Asasi Sains, kita boleh ajar pelajar subjek Sains dalam bahasa Melayu dan sekarang mereka boleh jadi doktor pun.

Sekarang ramai (doktor) adalah graduan Universiti Malaya (UM), dari Pusat Asasi Sains dan mereka belajar dalam bahasa Melayu juga mereka boleh jadi pandai.

Kemudian ditukarkan Sains dan Matematik (dalam bahasa Inggeris). Yang ruginya pelajar Melayu. Sudahlah perkataan dan terma saintifik dalam bahasa Inggeris sukar untuk difahami. Sekurang-kurangnya mereka dapat juga belajar dan gunakannya, tetapi sekarang mereka kata tak payah, belajar semua dalam bahasa Inggeris.

Saya rasa jika ingin mempelajari bahasa (istilah) sains, gunakan bahasa Inggeris adalah tepat untuk orang Melayu.

Orang Melayu mesti juga belajar bahasa Melayu yang betul, belajar lima hingga tujuh tahun, dari sekolah rendah sampai masuk universiti, belajar bahasa Melayu setiap tahun. Belajar sampai boleh guna (cakap atau tulis) seperti membaca artikel dalam akhbar Berita Harian.

Jika kita lihat kepada majalah murahan hari ini, tulisan bahasa Melayu mereka sangat teruk. Jadi ini semua (angkara) orang Melayu, bukan orang lain paksa dia atau bagi dia duit untuk merosakkan bahasa mereka sendiri.

Di sinilah kelemahan wujud dalam masyarakat dan perlu diperbetulkan, inilah masalah yang dihadapi orang Melayu ketika ini. Renungkanlah. ..

Ahad

Mamak Nak Naik Harga Lagi?

Baru-baru ini, sebuah persatuan yang mewakili pengusaha restoran India muslim telah membuat kenyataan bahawa harga roti canai akan naik ekoran tindakan kerajaan menaikkan levi pekerja asing.

Mereka mendesak kerajaan agar menangguhkan perlaksanaannya sehingga ekonomi pulih kerana dalam keadaan kegawatan ini pengunjung direstoran mamak merosot.

Sebagaimana maklum pengunjung merosot dalamasa kegawatan. Ini sudah tentu ada kaitan dengan kuasa beli yang merosot. Kalaulah dalam tahap harga sekarang sambutan sudah merosot, macamana pulak pengusaha restoran mamak ini hendak menaikkan harga roti canai? Bukankan permintaan lagi merosot?

Kalau iapun nak buat alasan janganlah menganggap masyarakat tidak tahu membuat kira-kira. Carilah alasan yang menasabah.

Namun kita tengok, kalau benar menjadi kenyataan berapa peratus kenaikan harga roti canai berbanding dengan berapa peratus kos levi dari kos keseluruhan.

Teringat saya kepada peniaga air di pasar SMART Johor Bahru, bila harga minyak naik,kenaikan harga air naik  dari RM1.00 kepada RM1.20. Berapa peratuskah penggunaan minyak dalam perniagaan air minuman?

Sekarang harga minyak turun, tapi harga air tetap sama. Inilah sikap peniaga kita.


- Sabri Jalil

 

Sabtu

Barisan Kabinet, Mengapa Negeri Perlu Kecewa?

Kabinet baru telah diumumkan beberapa hari lalu. Ada yang sudah membuat penilaian awal dengan barisan kabinet baru walaupun impaknya masih jauh lagi.

Dua buah negeri melahirkan rasa kecewa dengan barisan yang ada kerana dikatakan tiada wakil mereka dalam kabinet. Dua negeri itu ialah Melaka dan Perlis.

Persoalannya, mengapa perlu tidak berpuashati kerana tiada anak negeri dalam cabinet? Adakah kabinet mesti dibentuk berasaskan perwakilan?

Menteri dalam kabinet adalah mereka yang bekerja untuk seluruh kawasan di Malaysia. Walaupun mereka dari Sarawak mereka tidak berkhidmat untuk rakyat Sarawak sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia  termasuk negeri-negeri yang diperintah oleh parti yang membangkang.

Tidakkah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang menjadi kepala negeri melapur terus kepada Perdana Menteri tentang hal ehwal negeri? Sesungguhnya mereka yang lebih tahu tentang masalah negeri dari menteri kabinet.

Jadi, mengapa perlu bimbang dan kecewa jika tiada anak negeri dilantik dalam kabinet?

Sudah sampai masanya kita menghapuskan mentaliti kabinet berperwakilan ini. 

Kalau dalam sebuah negeri mempunyai 10 pemimpin yang layak menjadi menteri kabinet, maka lantiklah, asalkan mereka mampu memberi impak kepada rakyat dan negara tanpa ada sikap berat sebelah.  

- Sabri Jalil

Isnin

Alkisah Di Sebuah Restoran Mamak

Alkisah pada suatu malam saya dan rakan-rakan seperjuangan dalam Belia 4B bertemu dan berkumpul di sebuah restoran di Taman Johor Jaya. Aktiviti ini sekali-sekala kami lakukan untuk bersembang pasal persatuan, pasal politik, pasal saham, tak kurang juga mengumpat dan mengata. Ya lah kalau dah sentuh pasal politik, tidak boleh elak dari nak mengumpat dan mengata.Biasalah tu…..

Saya tidak tahu apa istimewanya restoran mamak ini? Bukan kami sahaja yang suka lepak dan ngeteh di kedai mamak ni, tapi orang lain juga saya perhatikan begitu. Tidak kira Melayu, Indiadan Cina saban siang dan malam suka benar menikmati makanan dan minuman di restoran mamak.

Nak kata istimewa pada kopinya, saya rasa tidak. Rata-rata kopi yang saya rasa di kebanyakan restoran mamak biasa je rasanya. Kopi yang isteri saya buat jauh lebih sedap dan setanding dengan kopi di kopitiam. Malah kadang-kadang kopi "O" (minuman kegemaran saya) yang dipesan bagaikan Nescafe “O”…..kalau ada ikan berenang di dalam kita boleh nampak.

Lain-lain menu, saya rasa tidak jauh bezanya dengan restoran yang lain khasnya restoran Melayu, tetapi restoran mamak tetap jadi pujaan.

Apa yang saya dan pembaca perasan ialah rata-rata pekerja di restoran mamak ini diimport dari India. Bahasa Melayu mereka ada yang ok…tapi tak kurang juga yang nyawa-nyawa ikan.

Menyambung kepada alkisah diperenggan pertama tadi, bila kami  masing-masing mengambil tempat di meja yang sama, maka seperti biasa pekerja restoran mamak ini datang untuk mengambil pesanan. Maka kami masing-masing meng”order” minuman ikut selera masing-masing. Semua membuat pesanan minuman panas.

Maka beberapa minit kemudian, minuman yang dipesan pun tiba. Saya dan beberapa rakan saya kurang berpuashati. Yang kami order adalah minuman panas, tapi yang dihantar suam sahaja bagaikan kopi atau teh tarik.

Salah seorang diantara kami memanggil mamak yang mengambil pesanan tadi. Maka kawan saya itupun mengeluarkan kata-kata kepada simamak tadi yang berbunyi begini;

“Lain kali kalau kita orang order air panas, pakai air panas bukan air suam”.

Untuk membuatkan simamak itu lebih faham, seorang lagi rakan saya pula mengangkat cawan sambil berkata “air panas, mesti air panas, faham ka?”

Entah faham entah tidak simamak itupun mengangguk-ngangguk dan terus beredar dari situ. Beberapa minit kemudian simamak itu kembali kemeja kami dengan membawa beberapa gelas air panas.

Kami memandang antara satu sama lain. Nak marah ada, nak ketawa pun ada.

Alahai mamak. Mengapalah kau begitu?


- Sabri Jalil

Khamis

Mamak oh mamak

Baru-baru ini ada saranan supaya panggilan mamak keatas masyarakat India Muslim dihapuskan. Alasannya, istilah mamak ialah satu penghinaan kepada masyarakat tersebut. Saranan tersebut datangnya dari NGO yang dianggotai oleh golongan mamak sendiri.

Namun begitu yang menariknya cadangan tersebut turut mendapat bantahan ramai dari kalangan mamak itu sendiri, terutamanya dari kalangan pengusaha restoran mamak.

Tidak tahu pula kita selama ini yang panggilan mamak itu sebagai satu penghinaan. Apa pun yang penting ialah niat kita, Kalau kita memanggil mereka dengan nama mamak, maka itu bukan penghinaan kerana masyarakat sudah menganggap ia panggilan yang lumrah. Jadi masyarakat mamak tidak perlu tersinggung.

Kita pun tidak pernah nampak dari riak wajah mereka yang dipanggil mamak itu terasa terhina dengan panggilan sedemikian. Kalau tidak percaya pergilah ke restoran mamak dan panggillah mereka, tidak seorang pun yang marah.

Istilah mamak sebenarnya banyak membawa faedah kepada masyarakat mamak itu sendiri. Ini kerana perkataan mamak kini mempunyai nilai kormesil. Buktinya kalau kita sebut sahaja restoran mamak apakah yang kita bayangkan? Panggilan mamak bagaikan sudah menjadi jenama umum kepada perniagaan restoran mereka. Maka itu apa rasionalnya ia perlu dihapuskan.

Teringat saya kepada sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan Bakar Batu, Johor Bahru. Semasa dalam pengubahsuaian sebuah bangunan untuk pembukaan restoran baru, terbentang satu kain rentang berbunyi;

“Satu lagi restoran mamak akan dibuka”

Terbukti bahawa istilah mamak adalah satu jenama umum, maka itu mengapa perlu dihapuskan.

 

- Sabri Jalil